Tuesday, April 24, 2012

SEPINTAS : RAHSIA SOLAT DHUHA….


Bismillahiwa'ala barokatillahi wa'ala rosulillah.......
Dalam Islam, setiap waktu ada nama yang tersendiri dan setiap waktu juga ada keistimewaan dan keberkatan. Antara kepentingan mengetahui waktu-waktu ini bagi seseorang hamba ALLAH adalah untuk masa beribadah atau menyembah ALLAH atau masa-masa untuk bertemu ALLAH. Dhuha adalah nama kepada waktu.

Kenapakah ia dinamakan solat Dhuha ???

Ia dinamakan solat dhuha kerana solat ini dikerjakan pada waktu dhahwah iaitu waktu matahari sudah naik tinggi.

Adakah ada nama lain bagi solat dhuha ???

Ia juga dinamakan dengan solat awwabin yang bermaksud kembali kepada ALLAH pada masa-masa lalai. Ramai yang lalai pada waktu Dhuha kerana sibuk mencari rezeki dan keuntungan dunia, manakala waktu antara maghrib dan Isyak pula, orang sibuk pulang ke rumah setelah letih bekerja dan mereka juga sibuk menjamu selera. Oleh itu, sesiapa yang kembali kepada ALLAH untuk beribadah dan mengerjakan ketaatan pada waktu-waktu tersebut, dia akan mendapat kedudukan yang tinggi di sisi ALLAH s.w.t.


Apakah hukum solat sunat Dhuha ???

Hukumnya sunat muakkad iaitu sangat dituntut mengerjakannya.

Apakah solat sunat Dhuha sama dengan solat sunat Isyraq ???

Ulama khilaf mengenai kedua solat ini :

PENDAPAT PERTAMA – Kedua-dua solat ini adalah sama. Pendapat ini dinyatakan oleh Sayyiduna Ibn Abbas, Syeikh Ramli dalam kitab An-Nihayah dan lain-lain.
PENDAPAT KEDUA – Kedua-dua solat ini tidak sama. Pendapat ini pula dinyatakan oleh Syeikh Mazjad dalam Matan ‘Ubab, Imam Ghazali, Syeikh Ibn Hajar dalam At-Tufah dan lain-lain.

#Kedua-dua pendapat ini adalah benar. Walaubagaimanapun, pendapat mu’tamad ( yang dipegang ) dalam mazhab ialah solat Dhuha sama dengan solat Isyraq.


Bilakah waktu mula dan waktu akhir mengerjakan ???

Waktunya bermula selepas naik matahari dengan anggaran satu tombak iaitu setinggi 4 darjah atau 16 minit selepas terbit matahari ( syuruq ) dan berkekalan sehingga tergelincir matahari iaitu ketika masuk waktu solat Zuhur.

Waktu ini menandakan masuknya waktu solat Isyraq. Inilah pendapat yang mengatakan solat Dhuha sama dengan solat Isyraq. Pendapat yang mengatakan tidak sama dengan solat Isyraq pula mengatakan waktu solat Dhuha bermula 28 minit selepas terbit matahari. Kedua-dua waktu ini boleh diterima. Untuk mengetahui waktu syuruq ( matahari terbit ) cukuplah dengan kita merujuk taqwim yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam.


Berapakah bilangan rakaatnya ???

Jumhur ulama termasuk Syeikh Ramli dan Syeikh Zayyadi mengatakan bahawa sekurangh-kurangnya 2 rakaat dan sebanyak-banyaknya 8 rakaat seperti yang disebutkan di dalam At-Tahqiq dan Al-Majmu’. Kebanyakan fuqaha mengatakan afdal mengerjakannya dengan 8 rakaat seperti yang disebutkan dalam kitab Raudhah, Ashl ar-Raudhah dan Sharh al-Muhazzab.

Sebahagian pendapat mengatakan 12 rakaat berdasarkan riwayat at-Tirmizi dan Ibnu Majah. Imam at-Tirmizi mengatakan ia adalah hadis gharib yakni hadis atau pendapat yang lemah ( qaul dhaif ).

Bagaimanakah cara mengerjakannya ???

Sunat salam bagi setiap 2 rakaat. Boleh membaca apa sahaja surah. Tetapi sunat untuk membaca pada rakaat pertama Surah asy-Syams dan pada rakaat ke-2 pula Surah ad-Dhuha mengikut pengarang kitab Fath al-Mu’in. Afdal membaca Surah al-Kafirun pada rakaat pertama dan Surah al-Ikhlas pada rakaat ke-2 mengikut Syeikh Ramli.


Bolehkah ia dikerjakan secara berjemaah ???

Boleh. Walaubagaimanapun, ia termasuk di dalam solat sunat yang tidak disunatkan berjemaah.

Apakah kelebihan solat ini ???

Antara rahmat yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w kepada umat ialah mengerjakan sesuatu ibadah yang mudah tetapi mendapat ganjaran yang besar di sisi ALLAH s.w.t. Antaranya ialah solat sunat Dhuha. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :

“ Setiap anggota kamu pada setiap hari dapat berbuat sedekah kerana pada setiap tasbih itu sedekah, setiap tahmid itu sedekah, setiap tahlil itu sedekah, menyuruh berbuat baik itu sedekah, dan melarang berbuat jahat itu sedekah. Dan memadailah dengan menggantikan semua itu dengan 2 rakaat yang dikerjakan pada waktu Dhuha ” – Riwayat Muslim

Dalam hadis lain, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :

“ Sesiapa yang memelihara dalam melaksanakan rakaat yang genap dari solat solat Dhuha, diampunkan dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di lautan ” – Riwayat Ahmad, at-Tirmmizi dan Ibn Majah )

Antara kelebihan lain berdasarkan kepada beberapa hadis termasuklah orang yang melaksanakan akan ditulis kebaikan untuk dimasukkan ke dalam golongan orang yang tidak lalai menginati ALLAH, dimudahkan urusan, dimurahkan rezeki, dibina mahligai untuknya di syurga dan lain-lain.
Wallahu'allam........

No comments:

Post a Comment