Sunday, April 3, 2011

Bersalam selepas solat, Sutrah dan Telekung nipis


1) Soalan : Sudah menjadi adat dan budaya di Negara kita, sebaik sahaja selesai solat berjemaah maka para jemaah akan saling bersalaman sehingga ada yang bersalaman yang disebut “ salam kereta api “. Apakah amalan ini sunnah dilakukan ???

Jawapan : Ok, menurut ulama-ulama seperti Imam Nawawi, ‘Izzuddin bin Abdul Salam, Ibn ‘Allan dan lain-lain lagi berpendapat bahawa berjabat tangan selepas solat tidak mengapa yakni bukan bid’ah yang tercela kerana hukum asalnya adalah sunat. Apabila seseorang itu berjabat tangan melampaui batas yang dianjurkan seperti melebihi batas kadar bersalam seperti kebiasaan, maka ia masih tidak terkeluar dari hukum berjabat tangan yang asal iaitu sunat. Di dalam Sahih Bukhari, daripada Jabir bin Samurah r.a:

“ Apabila Nabi s.a.w selesai solat, maka baginda akan berpaling dan menghadapkan wajahnya kepada kami.”

Abu Juhaifah berkata :

“ Suatu ketika Nabbi s.a.w keluar menuju ke Bayha’, maka Baginda berwuduk kemudian solat Zuhur 2 rakaat dan Asar 2 rakaat. Kemudian orang ramai bangun lalu memegang tangan Baginda dan mengusap-usapnya ke wajah mereka. Maka ketika tiba giliranku memegang tangan Baginda dan diletakkan ke mukaku, lalu aku merasakan tangannya lebih sejuk daripada salji dan lebih harum daripada kasturi.”

Al-Muhib al-Tabari berkata :

“ Peristiwa ini berlaku adalah bertujuan untuk menunjukkan rasa cinta kepada Rasulullah s.a.w dan mengambil keberkatan daripada kemuliannya yang merupakan tujuan yang sangat baik. Oleh sebab itu, seorang ulama yang bernama al’Allamah al-Nashiri menfatwakan :

“ Adalah sunat hukumnya berjabat tangan selepas solat secara mutlak, walaupun sudah berjabat tangan sebelum solat.”

Jadi, apa yang dipraktikkan oleh para jemaah di negara kita iaitu bersalaman seusai solat adalah satu amalan sunat dan tak menyalahi syariat agama…..Wallahu’allam….



2) Soalan : Apakah kaedah penggunaan pengadang ( Sutrah ) ketika mengerjakan solat ???

Jawapan : Baik, saya sertakan sebuah hadis daripada Abu Said al-Khudri r.a, dia berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :

“ Jika solat salah seorang antara kamu, hendaklah solat menghadap pengadang (Sutrah) dan hendaklah mendekat padanya dan jangan biarkan seseorang pun melalui antara dia dan pengadang itu. Jika ada seseorang yang melalui di depannya, maka perangilah, kerana dia adalah syaitan.”
( Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah )

Dalam riwayat lain ada menyebut :

“ Kerana sesungguhnya syaitan melalui antara dia dengan pengadang “

Cara penggunaan pengadang ketika solat ialah dengan meletakkan sesuatu seperti tongkat, batu, lembing dan yang seumpamanya di hadapan kita dengan jarak 3 hasta, boleh juga menjadikan sejadah, tiang atau pokok sebagai pengadang. Contoh yang disebutkan itu adalah symbol pengadang sebagai tanda agar orang tidak melintas di hadapan orang yang sedang mengerjakan solat. Larangan melintas di hadapan orang yang sedang solat adalah berdasarkan amaran keras Baginda dalam sebuah hadis yang bermaksud :

“ Sekiranya orang yang melalui di hadapan orang yang solat itu mengetahui apa yang akan menimpanya, nescaya untuk berhenti selama 40 tahun tanpa melintas orang yang solat, adalah lebih baik baginya daripada lalu di hadapannya”
( Riwayat Bukhari dan Muslim )

Wallahu’allam…..



3) Soalan : Adakah boleh memakai telekung nipis semasa solat sehingga menampakkan warna kulit ???

Jawapan : Ok, seperti yang diketahui umum, adalah menjadi kewajipan menutup aurat ketika solat berdasarkan hadis ‘Aisyah r.ha, katanya :

“ ALLAH tidak menerima solat seseorang yang telah haid yakni baligh melainkan dengan khimar iaitu tudung “
( Riwayat Abu Daud dan Tirmizi )

Antara syarat menutup aurat ialah pakaian itu dapat menghalang daripada kelihatan warna kulit, tidak memadai dengan pakaian yang sangat jarang atau sangat nipis sehingga kelihatan warna kulit. Lazimnya, di Negara kita, telekung dipakai berlapiskan pakaian sama ada baju kurung atau baju biasa di dalamnya. Oleh itu, warna kulit mesti sudah tidak kelihatan. Tetapi jika seseorang itu hanya mengenakan baju-T lengan pendek di dalam telekungnya, warna tangan selogiknya dapat dilihat dengan jelas, maka solat itu boleh dikira batal kerana ternampak aurat…..Wallahu’allam

2 comments:

  1. assalamualaikum ustaz..
    sy atiqah , n
    sy nak tanya ,misalnya dlm surau@masjid...kdg2 kita x dpt nak elakkan lalu di hadapan org bersembahyang kerana tiada tempat nak lalu..apakah hukumnya n bdosakah kita..? boleh x kita lalu tp lalu scr tunduk utk tanda hormat? trime kaseh.. =)

    ReplyDelete
  2. Wa'alaikumussalam....maaf krana lmbar reply soalan saudari.....first skali, jngan panggil saye ustaz...sbb saye blum layak dpat panggilan tu...saye pun masih belajar dan ILMU masih sngat cetek....
    Baik, berbalik kpada soalan saudari...scara ringkasnya boleh saya katakan, memang betul kadang-kadang itu ketika di masjid kita akan menghadapi situasi mcamtu ( lalu dihadapan orang solat )....tp saudari boleh mengambil beberapa pendekatan....Antaranya ialah seperti saudari menunggu sehingga soat orang itu selesai, kemudian baru saudari minta izin lalu di hadapannya....Tp kalau saudari ada 'urgent' yakni kecemasan dan nak cepat ke sesuatu tempat misalnya, saudari boleh mengambil sesuatu yg terdapat di dalam masjid itu seperti SEJADAH, BEG atau sebagainya dan diletakkan di hadapan orang yg sedang solat itu....kemudian saudari boleh lalu kerana sudah ada sutrah (penghadang) antara saudari dan orang yg sedang solat itu....pendekatan saudari lalu terus di hadapan orang bersolat itu sambil tunduk hormat itu juga boleh, kalau saudari mungkin kelam kabut dan sangat kecemasan....tp digalakkan saudari menggunakan DUA pendekatan yg disebutkan diatas td iaitu MENUNGGU atau MELETAKKAN SUTRAH.....Wallahu'allam

    ReplyDelete