Monday, March 21, 2011

Solat Duduk & Bacaan Imam Salah



1) Soalan: Emak saya diserang strok, dan kini tidak kuat untuk berdiri dan berjalan. Dia melakukan solat secara duduk. Tapi ada orang kata, emak tak boleh terus duduk, oleh sebab dia masih boleh berdiri dan berjalan maka ketika takbiratulihramdia kena berdiri kemudian ketika rukuk dan sujud baru boleh duduk. Sila jelaskan???

Jawapan: Berdiri ialah salah satu daripada rukun solat. Sekiranya seseorang itu tidak mampu berdiri melainkan dengan tongkat, atau dengan memegang tiang dan dinding, atau dengan bantuan orang lain, maka wajib dia berdiri dengan bantuan-bantuan tersebut. Inikan pula hal orang yang boleh berjalan, maka dalam solat dia wajib berdiri. Sekiranya separuh daripada peringkat berdirinya sampai satu tahap, dia sudah tidak mampu berdiri kerana letih atau lenguh lututnya, maka bolehlah dia duduk. Apabila telah lama duduk dan dia berasa boleh bangun semula, berasa ada kekuatan untuk bangun, maka wajiblah dia bangun semula dan teruskan solat. Begitulah kedudukannya, apabila rasa letih, dia duduk, kemudian apabila dia rasa ada tenaga untuk berdiri semula, maka wajib dia berdiri. Begitulah yang sepatutnya dilaksanakan, sehinggalah selesai solat, Wallahu’allam……………




2) Soalan: Bagaimana kedudukannya dalam solat jemaah jika bacaan imam banyak salah daripada sudut tajwidnya ( bacaan surah dan lain-lain ), Cuma al-Fatihahnya masih betul???

Jawapan: Solat berjemaah itu hukumnya sah kerana yang wajib ialah al-Fatihah. Selagi bacaan al-Fatihahnya betul, maka sahlah seseorang itu menjadi imam, walaupun banyak tersilap dalam bacaan surah sunat. Namun perbuatan kesilapan itu membawa kepada dosa kalau dia tidak berusaha untuk membaikinya, yakni dia membaca secara salah, hukumnya berdosa. Solatnya tetap sah, selagi becaan al-Fatihahnya itu betul, Wallahu’allam………..

Sisa makanan & Bahasa doa



1) Soalan: Semasa solat, saya dapati ada sisa makanan di celah gigi saya. Apakah yang perlu saya buat, samada membuang sisa tersebut dari mulut atau bolehkah saya terus menelan sisa tersebut??? Adakah menelan sisa yang kecil dianggap sedang makan dan boleh membatalkan solat???

Jawapan: Solat akan batal jika menelan makanan yang terselit di celah gigi dengan sengaja, dan tidak batal jika tidak sengaja hendak menelan air liur yang bercampur dengan lebihan makanan sedangkan usaha memberus gigi dan bersiwak serta berkumur telah dibuat ketika berwuduk. Hikmah tuntutan berkumur ialah untuk membuang sisa makanan agar tidak terjadi perkara yang membatalkan solat walaupun secebis sisa makanan. Usaha untuk mengeluarkan sisa makanan tersebut samada meludah ringan ke kiri atau ke bawah kaki adalah langkah terbaik agar tidak tertelan, Wallahu’allam………..



2) Soalan: Apakah hukum membaca doa dalam bahasa Melayu ketika sujud??? Bagaimana pula kalau berdoa dalam bahasa Arab tetapi bukan doa yang ma’thur???

Jawapan: Sujud merupakan saat yang paling akrab di antara seorang hamba dengan ALLAH dan juga masa yang amat dituntut untuk berdoa kepada ALLAH. Cuma kita mesti mengetahui akan kaedahnya supaya ianya tidak merosakkan solat. Melafazkan doa dalam bahasa Melayu dan selain bahasa Arab akan membatalkan solat tetapi kalau berdoa dengan cara tersebut dalam hati sahaja tanpa lafaz, adalah tidak membatalkan solat. Walaubagaimanapun, membaca doa dalam bahasa Arab walaupun bukan daripada doa ma’thur, adalah tidak membatalkan solat, Wallahu’allam………..

Tertidur Dalam Sujud



Soalan: Apakah hukum solat bagi mereka yang tertidur dalam sujud??

Jawapan: Berdasarkan kepada soalan ini, ada dua kemungkinan sah dan boleh juga menjadi tidak sah berdasarkan keadaan tidur seseorang itu. Kalau tidur yang nyenyak atau lama, maka batallah solatnya. Hal ini kerana orang yang tidur dalam keadaan tersebut tidak tahu seandainya ada sesuatu yang keluar dari kemaluannya. Adapun tidur yang ringan di mana apabila orang yang tidur itu berhadas, dia boleh merasakannya, maka tidur tersebut tidaklah membatalkan wuduknya selama dia boleh merasakan keluar atau tidak hadas tersebut (seandainya ia berhadas).

Tidur itu sendiri bukanlah pembatal solat tetapi tidur itu hanya merupakan satu keadaan yang berkemungkinan boleh terjadinya hadas pada keadaan tersebut. Dengan demikian, apabila hadas tersebut dapat ditolak, di mana orang tersebutdapat merasakan bila keluar hadas darinya, maka tidurnya tidaklah membatalkan solatnya. Begitu juga yang dimaksudkan dengan tidur ringan ialah seseorang itu tidur tetapi masih mendengar suara @ bunyi di sekelilingnya. Walaubagaimanapun, kalau tertidur dalam keadaan sujud, agak mustahil berlaku kerana kalau keadaan dalam keadaan lama dia boleh terjatuh. Ini sekaligus akan menyebabkan solatnya terbatal, Wallahu’allam………

Jadi Imam Ketika QADA’ solat & terlepas Solat Zuhur



1)Soalan: Saya sedang solat qada’ apabila datang seseorang menepuk belakang saya dan menjadi makmum saya. Apakah solat lelaki tersebut sah?? Apakah tindakan yang patut saya lakukan ketika itu???

Jawapan: Solat tersebut sah. Anda yang sedang solat qada’ perlu meneruskan solat seperti biasa sehingga salam, dan tidak perlu menukarkan niat menjadi imam. Begitulah sepatutnya orang yang berimam yang sering mencari ganjaran lebih dengan menunaikan solat secara berjemaah walaupun hanya dengan dua orang, Wallahu’allam……



2)Soalan: Sekiranya seseorang terlepas mengerjakan solat Zuhur, dan apabila menuju ke masjid, mendekati jemaah sedang menunaikan solat Asar, yang manakah harus didahulukan?? Solat qada’ Zuhur atau solat Asar berjemaah??

Jawapan: Afdal dia mendahulukan solat Zuhur daripada Asar mengikut tertib aturan solat. Tetapi dalam situasi ini dia boleh mengambil kesempatan yang terbaik untuk bersama-sama ahli jemaah menunaikan solat Asar secara berjemaah, dan dalam masa yang sama dia akan memperolehi 27 kali ganda ganjaran berbanding solat berseorangan. Cuma hukumnya adalah makruh kerana mendahulukan solat Asar daripada solat Zuhur, namun selepas mengerjakan solat Asar, maka dia harus mengerjakan qada’ Zuhur, Wallahu’allam………

Melantangkan Bacaan & Solat Tahiyyatul Masjid



1) Soalan: Adakah dibolehkan seseorang yang solat sendirian melantangkan bacaan solatnya seolah-olah ada makmum di belakangnya, semata-mata ingin khusyuk dalam solat??

Jawapan: Seandainya melantangkan suara pada solat Maghrib, Isyak dan Subuh, maka hukumnya adalah sunat bahkan makruh sekiranya dibaca SIR ( senyap ) walaupun solat berseorangan. Sebaliknya menguatkan suara sewaktu mengerjakan solat Zuhur dan Asar walaupun bertujuan untuk khusyuk, hukumnya tetap makruh kerana sunah ketika itu adalah membaca secara SIR ( senyap ), Wallahu’allam…..


2) Soalan: Saya sering ke masjid awal untuk menunaikan solat maghrib berjemaah. Apakah hukum mengerjakan solat sunat Tahiyyatul Masjid sementara menunggu masuk waktu maghrib, padahal waktu itu
( selepas Asar ) termasuk dalam waktu yang diharamkan solat???

Jawapan: Solat sunat Tahiyyatul Masjid termasuk dalm kumpulan solat sunat yang bersebab, maka ianya boleh dikerjakan walaupun pada waktu haram sekalipun. Tidak ada masa haram bagi solat Tahiyyatul Masjid, setiap masa dan keadaan boleh dikerjakan. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, “ Apabila masuk salah seorang daripada kamu ke masjid, maka janganlah duduk sehingga kamu menunaikan solat dua rakaat ( iaitu solat Tahiyyatul Masjid ).”
( Riwayat Bukhari dan Muslim )
Wallahu’allam……….

Saturday, March 20, 2010

QADA’ SOLAT

Bismillah....

Soalan: Saya pernah menjalani pembedahan yang menyebabkan saya tidak dapat menunaikan solat selama sebulan. Sebaik sembuh, saya mengqada’ balik solat yang tertinggal. Di sini, saya ingin bertanya beberapa soalan seperti berikut:

1) Solat manakah yang perlu didahulukan, solat qada’ atau solat pada waktunya??
2) Bolehkah saya qada’ solat maghrib pada waktu zuhur atau perlukah saya mengqada’ solat maghrib dalam waktu maghrib, solat subuh dalam waktu subuh dan seterusnya??
3) Adakah dibolehkan mengqada’ solat pada waktu yang diharamkan solat, seperti selepas solat fardu asar??
4) Perlukah saya qada’ solat mengikut turutan yakni subuh, zuhur, asar dan seterusnya? Atau bolehkah saya mengqada’ solat subuh sahaja hari ini contohnya bagi lima kali subuh yang tertinggal dan kemudian pula qada’ lima kali solat zuhur keesokan harinya?? Harap dijelaskan….??

Jawapan: 1) Solat pada waktunya perlu dilaksanakan kerana itu masa yang terbaik dalam mengerjakan solat, yakni masa yang afdal. Namun dalam masa yang sama, perlu diambil berat solat qada’ pada masa yang terluang serta menagguhkan dulu solat sunat bagi memberi laluan kepada solat qada’ yang lebih diutamakan ketika itu.
2) Tidak semestinya mengqada’ sesuatu solat itu mesti mengikut masanya bahkan anda dibolehkan mengqada semua waktu solat tanpa mengikut masanya. Contohnya, boleh qada solat asar dalam waktu subuh dan begitulah seterusnya untuk waktu lain.
3) Solat qada’ ini masa pelaksanaannya tidak terbatas, boleh dikerjakan bila-bila masa walaupun pada waktu haram seperti selepas solat asar.
4) Cara pertama iaitu dengan tertib adalah yang terbaik. Sekiranya mahu mengerjakan lima kali subuh dalam masa satu hari, hukumnya adalah sah, tetapi makruh.

Wallahu’allam…..