Monday, March 21, 2011

Solat Duduk & Bacaan Imam Salah



1) Soalan: Emak saya diserang strok, dan kini tidak kuat untuk berdiri dan berjalan. Dia melakukan solat secara duduk. Tapi ada orang kata, emak tak boleh terus duduk, oleh sebab dia masih boleh berdiri dan berjalan maka ketika takbiratulihramdia kena berdiri kemudian ketika rukuk dan sujud baru boleh duduk. Sila jelaskan???

Jawapan: Berdiri ialah salah satu daripada rukun solat. Sekiranya seseorang itu tidak mampu berdiri melainkan dengan tongkat, atau dengan memegang tiang dan dinding, atau dengan bantuan orang lain, maka wajib dia berdiri dengan bantuan-bantuan tersebut. Inikan pula hal orang yang boleh berjalan, maka dalam solat dia wajib berdiri. Sekiranya separuh daripada peringkat berdirinya sampai satu tahap, dia sudah tidak mampu berdiri kerana letih atau lenguh lututnya, maka bolehlah dia duduk. Apabila telah lama duduk dan dia berasa boleh bangun semula, berasa ada kekuatan untuk bangun, maka wajiblah dia bangun semula dan teruskan solat. Begitulah kedudukannya, apabila rasa letih, dia duduk, kemudian apabila dia rasa ada tenaga untuk berdiri semula, maka wajib dia berdiri. Begitulah yang sepatutnya dilaksanakan, sehinggalah selesai solat, Wallahu’allam……………




2) Soalan: Bagaimana kedudukannya dalam solat jemaah jika bacaan imam banyak salah daripada sudut tajwidnya ( bacaan surah dan lain-lain ), Cuma al-Fatihahnya masih betul???

Jawapan: Solat berjemaah itu hukumnya sah kerana yang wajib ialah al-Fatihah. Selagi bacaan al-Fatihahnya betul, maka sahlah seseorang itu menjadi imam, walaupun banyak tersilap dalam bacaan surah sunat. Namun perbuatan kesilapan itu membawa kepada dosa kalau dia tidak berusaha untuk membaikinya, yakni dia membaca secara salah, hukumnya berdosa. Solatnya tetap sah, selagi becaan al-Fatihahnya itu betul, Wallahu’allam………..

No comments:

Post a Comment