Tuesday, April 24, 2012

SEPINTAS : RAHSIA SOLAT DHUHA….


Bismillahiwa'ala barokatillahi wa'ala rosulillah.......
Dalam Islam, setiap waktu ada nama yang tersendiri dan setiap waktu juga ada keistimewaan dan keberkatan. Antara kepentingan mengetahui waktu-waktu ini bagi seseorang hamba ALLAH adalah untuk masa beribadah atau menyembah ALLAH atau masa-masa untuk bertemu ALLAH. Dhuha adalah nama kepada waktu.

Kenapakah ia dinamakan solat Dhuha ???

Ia dinamakan solat dhuha kerana solat ini dikerjakan pada waktu dhahwah iaitu waktu matahari sudah naik tinggi.

Adakah ada nama lain bagi solat dhuha ???

Ia juga dinamakan dengan solat awwabin yang bermaksud kembali kepada ALLAH pada masa-masa lalai. Ramai yang lalai pada waktu Dhuha kerana sibuk mencari rezeki dan keuntungan dunia, manakala waktu antara maghrib dan Isyak pula, orang sibuk pulang ke rumah setelah letih bekerja dan mereka juga sibuk menjamu selera. Oleh itu, sesiapa yang kembali kepada ALLAH untuk beribadah dan mengerjakan ketaatan pada waktu-waktu tersebut, dia akan mendapat kedudukan yang tinggi di sisi ALLAH s.w.t.


Apakah hukum solat sunat Dhuha ???

Hukumnya sunat muakkad iaitu sangat dituntut mengerjakannya.

Apakah solat sunat Dhuha sama dengan solat sunat Isyraq ???

Ulama khilaf mengenai kedua solat ini :

PENDAPAT PERTAMA – Kedua-dua solat ini adalah sama. Pendapat ini dinyatakan oleh Sayyiduna Ibn Abbas, Syeikh Ramli dalam kitab An-Nihayah dan lain-lain.
PENDAPAT KEDUA – Kedua-dua solat ini tidak sama. Pendapat ini pula dinyatakan oleh Syeikh Mazjad dalam Matan ‘Ubab, Imam Ghazali, Syeikh Ibn Hajar dalam At-Tufah dan lain-lain.

#Kedua-dua pendapat ini adalah benar. Walaubagaimanapun, pendapat mu’tamad ( yang dipegang ) dalam mazhab ialah solat Dhuha sama dengan solat Isyraq.


Bilakah waktu mula dan waktu akhir mengerjakan ???

Waktunya bermula selepas naik matahari dengan anggaran satu tombak iaitu setinggi 4 darjah atau 16 minit selepas terbit matahari ( syuruq ) dan berkekalan sehingga tergelincir matahari iaitu ketika masuk waktu solat Zuhur.

Waktu ini menandakan masuknya waktu solat Isyraq. Inilah pendapat yang mengatakan solat Dhuha sama dengan solat Isyraq. Pendapat yang mengatakan tidak sama dengan solat Isyraq pula mengatakan waktu solat Dhuha bermula 28 minit selepas terbit matahari. Kedua-dua waktu ini boleh diterima. Untuk mengetahui waktu syuruq ( matahari terbit ) cukuplah dengan kita merujuk taqwim yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam.


Berapakah bilangan rakaatnya ???

Jumhur ulama termasuk Syeikh Ramli dan Syeikh Zayyadi mengatakan bahawa sekurangh-kurangnya 2 rakaat dan sebanyak-banyaknya 8 rakaat seperti yang disebutkan di dalam At-Tahqiq dan Al-Majmu’. Kebanyakan fuqaha mengatakan afdal mengerjakannya dengan 8 rakaat seperti yang disebutkan dalam kitab Raudhah, Ashl ar-Raudhah dan Sharh al-Muhazzab.

Sebahagian pendapat mengatakan 12 rakaat berdasarkan riwayat at-Tirmizi dan Ibnu Majah. Imam at-Tirmizi mengatakan ia adalah hadis gharib yakni hadis atau pendapat yang lemah ( qaul dhaif ).

Bagaimanakah cara mengerjakannya ???

Sunat salam bagi setiap 2 rakaat. Boleh membaca apa sahaja surah. Tetapi sunat untuk membaca pada rakaat pertama Surah asy-Syams dan pada rakaat ke-2 pula Surah ad-Dhuha mengikut pengarang kitab Fath al-Mu’in. Afdal membaca Surah al-Kafirun pada rakaat pertama dan Surah al-Ikhlas pada rakaat ke-2 mengikut Syeikh Ramli.


Bolehkah ia dikerjakan secara berjemaah ???

Boleh. Walaubagaimanapun, ia termasuk di dalam solat sunat yang tidak disunatkan berjemaah.

Apakah kelebihan solat ini ???

Antara rahmat yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w kepada umat ialah mengerjakan sesuatu ibadah yang mudah tetapi mendapat ganjaran yang besar di sisi ALLAH s.w.t. Antaranya ialah solat sunat Dhuha. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :

“ Setiap anggota kamu pada setiap hari dapat berbuat sedekah kerana pada setiap tasbih itu sedekah, setiap tahmid itu sedekah, setiap tahlil itu sedekah, menyuruh berbuat baik itu sedekah, dan melarang berbuat jahat itu sedekah. Dan memadailah dengan menggantikan semua itu dengan 2 rakaat yang dikerjakan pada waktu Dhuha ” – Riwayat Muslim

Dalam hadis lain, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :

“ Sesiapa yang memelihara dalam melaksanakan rakaat yang genap dari solat solat Dhuha, diampunkan dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di lautan ” – Riwayat Ahmad, at-Tirmmizi dan Ibn Majah )

Antara kelebihan lain berdasarkan kepada beberapa hadis termasuklah orang yang melaksanakan akan ditulis kebaikan untuk dimasukkan ke dalam golongan orang yang tidak lalai menginati ALLAH, dimudahkan urusan, dimurahkan rezeki, dibina mahligai untuknya di syurga dan lain-lain.
Wallahu'allam........

Tuesday, November 8, 2011

Subhanallah....MAGISNYA Solat !!!


Bismillah…..

Umumnya, jasad manusia terdiri daripada komponen fizikal dan mental. Operasi fizikal jasad manusia diuruskan oleh bahagian mental. Tatacara pengurusan ini merupakan manifestasi daripada tindakan dan kelakuan otak manusia itu sendiri, sama ada dalam bentuk mekanikal, kimia, atau elektrik.

Kesihatan seseorang manusia pula bergantung kepada kesihatan fizikal dan mentalnya. Manusia yang sihat fizikal dan mental akan dapat melaksanakan tugas hariannya dengan sempurna. Malahan, mereka juga dapat memainkan peranannya sebagai warga dunia secara lebih efektif. Ada banyak kegiatan berkala harian yang boleh dilakukan untuk menjamin kesihatan seseorang agar berada pada tahap yang sempurna.

Kewajipan solat

Dalam Islam, sembahyang atau solat adalah tiang agama dan merupakan ibadat wajib yang perlu dilakukan pada masa, keadaan, serta mengikut tertibnya. Solat wajib merupakan satu kegiatan rutin harian orang Islam yang mesti dilakukan secara berkala, lima kali sehari semalam. Di samping itu, ada solat-solat tambahan yang digalakkan untuk orang-orang Islam melakukannya pada bila-bila masa mahupun pada masa-masa tertentu.

“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu
mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar”
Al-Ankabut 29 : 45

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk”
Al-Baqarah 2 : 45

“Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Kaabah); dan sesungguhnya perintah berkiblat ke Kaabah itu adalah benar dari Tuhanmu. Dan (ingatlah),
Allah tidak sekali-kali lalai akan segala apa yang kamu lakukan ”
Al-Baqarah 2 : 149

Menurut kajian Professor Fatimah Fatimah Ibrahim, Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok, tabiat lazim sempurna yang patut diamalkan dalam solat selain menyempurnakan solat lima waktu sehari semalam ialah berusaha memahami sepenuhnya makna bacaan di dalam solat, menunaikan solat secara berjemaah, memastikan kedudukan tulang belakang yang lurus ketika rukuk (rukuk 90 darjah) dan membengkokkan jari kaki ketika sujud dan duduk tahiyat.

Jika seseorang dapat mengamalkan lima atau empat tabiat lazim tersebut, mereka akan mempunyai tahap kesihatan yang terbaik dan melepasi aras optimum sihat. Malah tubuh badan juga akan menjadi lebih sihat, bertenaga serta daya ketahanan badan menjadi tinggi dan mantap serta dapat menghindarkan mereka daripada dijangkiti pelbagai penyakit fizikal dan mental.


Ajaibnya Sujud

Sabda Rasullullah yang bermaksud:

“ Aku diperintah oleh ALLAH bahawa aku sujud di atas tujuh anggota di atas dahi dan diisyaratkan dengan tangannya di atas hidungnya dan dua tangan dan dua lutut dan oerut-perut anak jari dua kaki “
Muttafaqun ‘alaih

Persatuan Islam Kebangsaan Malaysia (MICNA) Jordan mengenal pasti sesiapa yang tidak menunaikan sembahyang maka otaknya tidak dapat menerima darah secukupnya untuk berfungsi secara sempurna.


Jurucakap MICNA Jordan berkata, ini bererti darah tidak akan memasuki urat saraf di dalam otak manusia melainkan ketika seseorang itu sujud ketika solat.
Di dalam Majalah Buletin Bulanan MICNA, jurucakap persatuan ini membuat kenyataan bahawa;

“Darah akan memasuki bahagian urat tersebut mengikut kadar solat yang telah diwajibkan oleh Islam”.

Ini diakui sendiri oleh seorang doktor neurologi di Amerika Syarikat yang telah memeluk Islam kerana beberapa keajaiban di dalam penyelidikannya itu. Doktor tersebut mendapati dalam kajiannya urat pada saraf manusia memerlukan darah untuk beberapa sukatan tertentu sahaja.

Doktor neurologi tersebut tertarik untuk memeluk Islam semasa membuat kajian saraf yang dilakukan, iaitu terdapat beberapa urat saraf di dalam otak manusia tidak dimasuki darah walaupun sepatutnya setiap inci otak manusia memerlukan darah yang secukupnya untuk berfungsi secara normal.


Ulama mengatakan sujud ketika solat adalah waktu yang paling hampir antara kita dengan Allah S.W.T iaitu dengan mengalakkan kita bersujud lama. Dari segi ilmu perubatan, kesan sujud yang lama akan menambahkan kekuatan aliran darah ke otak yang boleh mengelakkan pening kepala dan migraine,menyegarkan otak serta menajamkan akal fikiran seterusnya menguatkan mentaliti kita. Menurut DR. MOHD OSMAN NASIR, hikmah sujud antara lain ialah:

1) Melegakan sistem pernafasan (relieved congestion for breathing).

2) Mengembalikan kedudukan organ ke tempat asalnya.

3) Bernafas ketika sujud akan:

- Membetulkan buah pinggang yang terkeluar sedikit dari tempat asalnya.

- Membetulkan pundi peranakkan yang jatuh (prolapsed uterus / fallenbandwomb)

- Melegakan sakit hernia.

- Mengurangkan sakit senggugut ketika haid.

- Melegakan bahagian paru-paru dari ketegangan (high parts of the lung)


- Mengurangkan kesakitan pada pesakit APPENDIKS @SPLEEN (limpa)

- Kedudukan sujud paling baik untuk berehat dan mengimbang lingkungan bahagian belakang tubuh.

- Meringankan bahagian PELVIS

- Memberi dorongan untuk mudah tidur.

- Mengerakkan otot bahu, dada, leher, perut, punggung ketika akan sujud dan bangun darinya.

- Gerakan otot-otot itu menjadikannya (otot) lebih kuat dan elastik, secara otomatik memastikan kelicinan perjalanan darah yang baik (smooth blood circulation).

- Bagi wanita, gerakan otot itu menjadikan buah dadanya lebih baik, mudah berfungsi untuk menyusukan bayi dan terhindar dari sakit buah dada.

- Mengurangkan kegemukan (obesiti).

- Gerakan bahagian otot memudahkan wanita bersalin, organ peranakan mudah kembali ke tempat asal serta terhindar dari sakit bergelombang perut convulsions).

- Otak manusia (organ terpenting) menerima banyak bekalan darah dan oksigen.

- Kesan psikologi adalah dengan merasa rendah diri di hadapan Pencipta, sifat sombong, riak, takabur dapat dikikiskan.

- Mengelakkan pendarahan otak jika kita tiba-tiba menerima pompa darah ke otak secara kuat dan mengejut terhindarlah penyakit seperti APOPLEXIA RUPTURE OF BLOOD VESSELS DAN ARTE IOSECLEROSIS OF CEREBRUM.

Ajaibnya Solat Berjemaah

Seorang professor fizik di Amerika Syarikat telah membuat satu kajian tentang kelebihan solat berjemaah yang disyariatkan dalam Islam. Katanya tubuh badan kita mengandungi dua cas elektrik iatu cas positif dan cas negatif. Dalam aktiviti harian kita sama ada bekerja, beriadah atau berehat, sudah tentu banyak tenaga digunakan.
Dalam proses pembakaran tenaga, banyak berlaku pertukaran cas positif dan cas negatif, yang menyebabkan ketidakseimbangan dalam tubuh kita. Ketidakseimbangan cas dalam badan menyebabkan kita rasa letih dan lesu setelah menjalankan aktiviti seharian. Oleh itu cas-cas ini perlu diseimbangkan semula untuk mengembalikan kesegaran tubuh ke tahap normal.

Berkaitan dengan solat berjemaah, timbul persoalan di minda professor ini mengapa Islam mensyariatkan solat berjemah dan mengapa solat lima waktu yang didirikan orang Islam mempunyai bilangan rakaat yang tidak sama.

Hasil kajiannya mendapati bilangan rakaat yang berbeza dalam solat kita bertindak menyeimbangkan cas-cas dalam badan kita. Semasa kita solat berjemaah, kita disuruh meluruskan saf, bahu bertemu bahu dan bersentuhan tapak kaki. Tindakan-tindakan yang dianjurkan semasa solat berjemaah itu mempunyai berbagai kelebihan.


Kajian sains mendapati sentuhan yang berlaku antara tubuh kita dengan tubuh ahli jemaah lain yang berada di kiri dan kanan kita akan menstabilkan kembali cas-cas yang diperlukan oleh tubuh. Ia berlaku apabila cas yang berlebihan – sama ada negatif atau positif akan dikeluarkan, manakala yang berkurangan akan ditarik ke dalam kita. Semakin lama pergeseran ini berlaku, semakin seimbang cas dalam tubuh kita.

Menurut beliau lagi, setiap kali kita bangun dari tidur, badan kita akan merasa segar dan sihat setelah berehat berapa jam. Ketika ini tubuh kita mengandungi cas-cas positif dan negatif yang hampir seimbang. Oleh itu, kita hanya memerlukan sedikit lagi proses pertukaran cas agar keseimbangan penuh dapat dicapai. Sebab itu, solat Subuh didirikan 2 rakaat.

Seterusnya, setelah sehari kita bekerja kuat dan memerah otak semua cas ini kembali tidak stabil akibat kehilangan cas lebih banyak daripada tubuh. Oleh itu, kita memerlukan lebih banyak pertukaran cas. Solat jemaah yang disyariatkan Islam berperanan untuk memulihkan keseimbangan cas-cas berkenaan. Sebab itu, solat Zohor didirikan 4 rakaat untuk memberi ruang yang lebih kepada proses pertukaran cas dakam tubuh.

Situasi yang sama turut berlaku di sebelah petang. Banyak tenaga dikeluarkan ketika menyambung kembali tugas. Ini menyebabkan sekali lagi kita kehilangan cas yang banyak. Seperti mana solat Zohor, 4 rakaat solat Asar yang dikerjakan akan memberikan ruang kepada proses pertukaran cas dengan lebih lama.


Lazimnya, selepas waktu Asar dan pulang dari kerja kita tidak lagi melakukan aktiviti-aktiviti yang banyak menggunakan tenaga. Masa yang diperuntukkan pula tidak begitu lama. Maka, solat Maghrib hanya dikerjakan sebanyak 3 rakaat adalah lebih sesuai dengan penggunaan tenaga yng kurang berbanding 2 waktu sebelumnya.

Timbul persoalan di fikiran professor itu tentang solat Isyak yang mengandungi 4 rakaat.Logiknya, pada waktu malam kita tidak banyak melakukan aktiviti dan sudah tentu tidak memerlukan proses pertukaran cas yang banyak.

Setelah kajian lanjut, didapati terdapat keistimewaan mengapa Allah mensyariatkan 4 rakat dalam solat Isyak. Kita sedia maklum, umat Islam amat digalakkan untuk tidur awal agar mampu bangun menunaikan tahajjud di sepertiga malam. Ringkasnya, solat Isyak sebanyak 4 rakaat itu akan menstabilkan cas dalam badan serta memberikan tenaga untuk kita bangun malam (qiamullail).

Dalam kajiannya, professor ini mendapati bahawa Islam adalah satu agama yang l engkap dan istimewa. Segala amalan dan suruhan Allah Taala itu mempunyai hikmah ynag tersirat untuk kebaikan umat Islam itu sendiri. Beliau merasakan betapa kerdilnya diri dan betapa hebatnya Pencipta alam ini. Akhirnya, dengan hidayah Allah beliau memeluk agama Islam.


Konklusi

Tuntasnya, inilah antara kajian-kajian yang dapat dibuktikan masa kini dengan teknologi sains tentang keajaiban solat kepada psikologi manusia. Semoga kita semua dapat mempertingkatkan ibadah diri masing-masing untuk cuba istiqmah dalam beribadah kepada ALLAH insya-ALLAH.
Wallahu’allam

Thursday, September 29, 2011

Rangkuman Permasalahan Solat Jamak & Qasar



1) Soalan : Jika tempat yang dituju mempunyai jalan yang pendek (kurang 2 marhalah) dan jalan panjang (lebih 2 marhalah), bolehkah jama’ dan qasar jika ikut jalan panjang?

Jawapan: Ok, boleh jika jalannya lebih mudah dan lebih selamat untuk dilalui berbanding jalan yang pendek ( dekat ), tetapi jika tujuannya semata-mata untuk solat jama’ dan qasar maka ia tidak harus.

2) Solat yang ditinggal semasa musafir bolehkah diqado’ dengan diqasarkan semasa bermukim?

Jawapan: Tidak boleh sebab solat berjemaah (tamam) lebih afdhal daripada solat qasar seseorang yang tidak berjemaah ketika musafir.

3) Soalan : Bolehkah saya lakukan solat jama’ taqdim antara solat Jumaat dengan solat Asar ?

Jawapan : Boleh melakukan jama’ taqdim solat Jumaat dengan Asar. Tetapi tidak boleh jama’ ta’khir, kerana solat Jumaat hanya pada waktu zohor sahaja.



4) Soalan : Apakah hukum bermusafir pada hari Jumaat ?

Jawapan : Haram bermusafir selepas fajar sekiranya dalam perjalanannya tidak boleh solat Jumaat. Jika boleh tunaikan Jumaat maka ia diharuskan bermusafir. Boleh jama’ dan qasar sekiranya keluar sebelum fajar (subuh). Namun, jika seseorang itu keluar musafir selepas fajar ( subuh ) dan kemudian dia tertinggal solat Jumaat, maka dia tidak boleh melakukan solat zuhur dan asar dengan kaedah jamak dan qasar, tetapi hendaklah solat seperti biasa. ( hanya pada hari Jumaat, hari-hari lain boleh jamak & qasar seperti biasa )



5) Soalan: Benarkah seorang musafir apabila sampai tempat yang dituju, boleh melakukan jama’ dan qasar selama tiga hari tiga malam. Selepas itu tidak boleh lagi jama’ dan qasar?

Jawapan: Ok, boleh atau tidak seseorang musafir melakukan jama’ dan qasar adalah bergantung kepada rancangan dan niatnya hendak berada di satu-satu tempat. Kerana jika dia berazam awal-awal lagi atau sebelum tiba di tempat itu hendak tinggal selama 4 hari 4 malam atau lebih, maka safarnya akan terputus dan sebaik sahaja dia tiba di tempat berkenaan, kerana dia telah dikira telah bermukim dan bukan lagi musafir. Lainlah jika dia berazam hendak tinggal di satu-satu tempat selama 3 hari atau tidak sampai 4 hari, maka bolehlah dia melakukan jama’ qasar dalam tempoh masa tersebut. Oleh yang demikian, anggapan yang mengatakan seseorang boleh jama’ qasar sekadar 3 hari di tempat yang dituju itu secara mutlak adalah tidak benar, kerana boleh atau tidak jama’ qasar bergantung kepada penentuan awal atau azamnya sebagaimana huraian di atas.



Berikut merupakan beberapa lagi masalah yang sering terjadi dalam masyarakat :

- Seorang telah solat jama’ taqdim zohor dan asar dalam perjalanan dan telah sampai rumahnya sebelum waktu Asar. Maka dia tidak wajib mengulang lagi solat asar itu kerana telah mendapat rukhsah jama’ taqdim.

- Seorang musafir menziarahi saudara (lebih dua marhalah) selama 3 hari, kemudian menziarahi saudara yang lain 2 hari (walaupun 3@4 km shj). Maka dia boleh jama’ dan qasar kerana tidak sampai tempoh memutuskan safar (4 hari 4 malam dalam satu-satu tempat).

- Seorang yang memulakan safarnya sebaik sahaja waktu solat telah masuk. Musafir tersebut boleh melakukan jama’ dan qasar dalam perjalanan.

Seorang bermukim di K. Lumpur dan hendak bermusafir ke Ipoh dengan Kapal Terbang, setelah tiba di Lapangan Terbang Subang, dia solat Jama; zohor dan Asar. Tiba-tiba penerbangan di batalkan dan terpaksa pulang. Musafir tersebut tidak perlu lagi solat Zohor dan Asar.

- Seorang pelajar USM ingin balik ke kampungnya sekadar 3 hari sahaja. Tidak boleh jama’ qasar sebab kampung halaman adalah watannya ( tempat asalnya ) sendiri dan tidak dianggap musafir.

Wallahu’allam.....

Sunday, April 24, 2011

Permasalahan Sujud Sahwi Tapi Kita Malu Bertanya…..


1) Soalan : Sekiranya kita tertinggal salah satu perkara rukun dalam solat, bolehkah kita menutup solat kita dengan hanya sujud sahwi ???

Jawapan : Ok, sekiranya tertinggal salah satu daripada fardhu atau rukun, solat tak boleh ditutup dengan just sujud sahwi semata-mata. Kita hendaklah terlebih dulu melakukan rukun yang tertinggal itu sekiranya jaraknya yang tidak jauh dan kita teringat sebelum memberi salam. Misalnya :

Kita terus sujud dan tertinggal rukuk mybe terlupa, maka hendaklah bangun semula untuk melakukan rukuk dan barulah dilakukan sujud sahwi selepas tahiyyat akhir sebelum salam. Ataupun kita terlupa membaca al-Fatihah pada salah satu rakaat dan teringat selepas memberi salam, walaupun mybe telah bercakap sepatah-dua dengan kawan, maka boleh juga kembali menyambung solat dengan menambah kekurangan tadi ( bacaan al-Fatihah ) dan kemudian disunatkan sujud sahwi….Wallahu’allam….


2) Soalan : Sekiranya seseorang itu terlupa membaca doa qunut, dan teringat time dia nak sujud, so bolehkah dia kembali melakukan doa qunut tersebut ???

Jawapan : Ok, apabila seseorang tu terlupa melakukan salah satu sunat ab’adh, dia tak boleh kembali melakukannya setelah dia sempurna melakukan rukun seterusnya. Misalnya :

Lepas I’tidal, anda terlupa membaca doa qunut, kemudian terus sujud. Dalam sujud tu, baru teringat, maka tak boleh bangun kembali untuk membaca doa qunut tu. Sebaliknya anda hanya perlu menggantikannya dengan sujud sahwi selepas tahiyyat akhir yakni sebelum salam.


Tetapi, jika anda belum sempurna untuk mengerjakan sujud, maka bolehlah bangun semula untuk membaca qunut. Maksud belum sempurna untuk sujud ialah, sekiranya anda turun selepas I’tidal untuk sejud, tetapi belum sampai paras had rukuk, maka dibolehkan bangun semula untuk mengerjakan qunut dan tak perlu sujud sahwi. Jika anda sudah melebihi paras had rukuk pula, tetapi belum sampai kepada sempurna sujud, maka dibolehkan juga kembali naik untuk membaca qunut, tetapi sunat juga dia mengerjakan sujud sahwi.

Begitu juga jika tertinggal tahiyyat awal. Sekiranya anda teringat sebelum anda naik sampai paras rukuk untuk rakaat ke-3, maka dibolehkan duduk kembali membaca tahiyyat awal dan tak sunat sujud sahwi. Sekiranya anda teringat setelah naik ke paras rukuk, tetapi belum sempurna berdiri, maka sunat anda sujud sahwi. Tapi jika anda sudah berdiri tegak untuk rakaat ke-3, maka tak boleh turun kembali untuk membaca tahiyyat awal, sebab jika anda turun kembali, solat anda dikira BATAL.

Namun jika anda terlupa juga untuk sujud sahwi selepas solat, maka boleh kembali sujud sahwi dengan syarat anda teringat ( tertinggal sujud sahwi itu ) dalam masa yang tak terlalu lama selepas selesai solat. Bagaimanapun, kalau tertinggal sujud sahwi tu, taklah sampai tahap menjejaskan solat kerana ia just sunat…Wallahu’allam…


3) Soalan : Bagaimana jika Imam terlupa untuk sujud sahwi & apakah bacaan sujud sahwi ???

Jawapan : Ok, secara ringkasnya, jika Imam terlupa untuk sejud sahwi, maka makmum bolehlah melakukannya ( sujud sahwi ) setelah imam selesai memberi salam.
Bacaan sujud sahwi adalah seperti berikut…..


Walaubagaimanapun, dibolehkan juga membaca dalam sujud sahwi dengan bacaan seperti sujud biasa….Wallahu’allam

Friday, April 22, 2011

INFO : Berwuduk Zahir & Batin


Suatu hari. Isam bin Yusuf menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim al-Assam dan bertanya :

“ Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat ??? “

Hatim berkata :

“ Apabila masuk waktu solat, aku berwuduk zahir dan batin “

Isam bertanya lagi :

“ Bagaimana wuduk zahir dan batin itu ??? “

Hatim berkata :

“ Wuduk zahir itu sebagaimana biasa iaitu membasuh semua anggota wuduk dengan air. Sementara wuduk batin pula ialah membasuh hati dari 7 perkara :

- Bertaubat
- Menyesali dosa yang telah dilakukan
- Tidak tergila-gilakan dunia
- Tidak mengharapkan pujian orang
- Tinggalkan sifat riyak
- Tinggalkan sifat khianat dan menipu
- Meninggalkan sifat dengki


“ Aku berdiri untuk solat dengan penuh kewaspadaan dan sebelum takbiratulihram, aku merasa dan membayangkan seolah-olah :

- Aku sedang berhadapan dengan ALLAH
- Syurga disebelah kananku
- Neraka disebelah kiriku
- Malaikat maut berada dibelakangku
- Aku bayangkan juga seolah-olah aku berdiri di atas titian Siratul Mustaqim
- Dan aku juga menganggap solatku itu adalah solat yang terakhir “


Hatim menyambung lagi :

“ Setiap bacaan dan doa di dalam solat, aku faham maknanya. Kemudian aku rukuk dan sujud dengan penuh tawadduk, aku bertasyahud dengan penuh pengharapan, dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun….Subahanallah !!!

Thursday, April 21, 2011

INFO : KETAHUILAH SEJARAH AZAN


Dikisahkan...
Azan mula disyariatkan di Madinah pada tahun pertama Hijrah. Asal-usul azan terkandung dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abdullah bin Umar r.a yang bermaksud :

“ Semasa orang Islam sampai di Madinah, mereka berkumpul lalu memperkirakan waktu solat dan tidak ada seorang pun yang menyeru untuk solat. Pada suatu hari mereka membincangkan masalah itu. Berkata sebahagian mereka :

‘ Ambillah naqush ( loceng ) seperti naqush orang-orang Nasrani ( Kristian ) ‘
Berkata sebahagian yang lain pula :

‘ Ambillah trompet seperti trompet orang Yahudi ‘

Lalu berkata Umar :
‘ Tidakkah kamu melantik seorang lelaki untuk menyerukan solat ???

Bersabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
‘ Wahai Bilal, berdirilah dan serulah untuk solat.”

Hasil perbincangan tersebut, terdapat beberapa cadangan seperti :

- Membunyikan loceng seperti yang dilakukan oleh orang Nasrani
- Meniup trompet seperti penganut agama Yahudi
- Mengibarkan bendera sebagai tanda masuk waktu solat. Apabila bendera dikibarkan, orang yang melihatnya hendaklah memberitahu kepada orang ramai.
- Menyalakan api di atas bukit. Orang yang melihat api hendaklah hadir ke masjid untuk solat berjemaah.

Semua usul itu ditolak oleh Rasulullah s.a.w. Kemudian Umar al-Khattab mencadangkan supaya diteriakkan kuat-kuat lafaz
‘ Telah datang waktu solat ‘

Cadangan Umar ini diterima oleh Baginda tetapi dengan sedikit ( modifikasi ) pengubahsuaian iaitu lafaz
‘ Telah datang waktu solat ‘ ditukar kepada ‘ Assolatu jami’ah ‘ yang bermaksud marilah solat berjemaah.

Manakala dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Abdullah bin Zaid r.a, beliau bermimpi berjumpa dengan seorang lelaki yang membawa naqush ( loceng ):

Abdullah : “ Wahai hamba ALLAH, adakah kamu jual naqush itu ???“

Pembawa loceng : “ Apa yang akan engkau buat dengannya ???“

Abdullah : “ dengan naqush itu kami menyeru kepada solat“

Pembawa loceng : “ Mahukah kamu aku tunjukkan lebih baik daripada itu ???“

Abdullah : “ Ya “

Pembawa loceng : “ Kumandangkanlah ‘ Allahu akbar….’ ( hingga akhir azan )


Keesokan harinya, Abdullah bin Zaid mencerikatakan kepada Rasulullah s.a.w mengenai mimpinya itu. Baginda bersabda :

“ Sesungguhnya mimpimu itu benar Insya-ALLAH, berdirilah engkau bersama Bilal dan ajarkanlah pedanya apa yang engkau mimpikan itu. Hendaklah Bilal azan dengan apa yang diajarkan kepadanya itu, kerana suaranya lebih bagus dan tinggi daripada kamu “
Kemudian Abdullah bin Zaid berdiri bersama Bilal bin Rabah, lalu mengajarkannya lafaz azan tersebut.

Ketika Bilal hendak melaungkan azan, Umar al-Khattab berkata :

“ Demi yang telah mengutuskanmu dengan benar wahai Rasulullah, sesungguhnya aku bermimpi sepertimana yang dimimpikan oleh Abdullah “

Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda :

“ Segala puji bagi ALLAH “

Walaupun azan disyariatkan hasil mimpi Abdullah bin Zaid yang kebetulan sama mimpinya dengan Umar al-Khattab, ini tidak bermakna azan itu adalah rekaan manusia. Sebaliknya ia diperkuatkan lagi dengan wahyu. Al-Bazzar berkata :

“ Nabi s.a.w pada malam Isra’ telah diperlihatkan dengan azan dan diperdengarkan kepadanya di atas langit ke-7. Kemudian Jibril mendatanginya, lalu dia menjadi imam kepada ahli langit. Antara mereka ialah Nabi Adam a.s dan Nabi Nuh a.s. ALLAH s.w.t menyempurnakan kemuliaan baginya dengan penduduk langit dan bumi “

Wallahu’allam

Sunday, April 17, 2011

Tukar niat Imam, Masbuk Jumaat & Solat di kaki lima Kuil


1) Soalan : Apabila solat sendirian, kemudian datang seorang menepuk bahu menjadi makmum, adakah kita perlu bertukar niat menjadi imam solat atau tidak perlu ??? Perlukah seseorang makmum masbuk membaca doa iftitah atau terus membaca surah al-fatihah ??

Jawapan : Ok, tidak menjadi kewajipan tapi harus untuk bertukar niat sebagai imam atau tidak. Cuma hukum ke atas makmum tersebut adalah wajib ia berniat sebagai makmum, kalau tidak maka solatnya tidak sah.

Dalam bab doa iftitah, hukumnya menjadi sunat untuk seseorang itu membacanya, iaitu setelah menepati 5 syarat berikut :

- Ketika kita memasuki solat, imam ketika itu sedang qiyam ( berdiri ). Sebaliknya kalau imam sudah dalam keadaan iktidal, rukuk, sujud dan duduk antara dua sujud, maka tidak disunatkan untuk membacanya.
- Sebelum kita membaca lafaz ‘ Ta’awwuz ‘
- Meyakini akan cukupnya masa untuk membaca surah al-Fatihah setelah selesai doa iftitah sebelum imam rukuk.
- Bukan solat Jenazah.
- Berkeyakinan bahawa waktu untuk menghabiskan solat fardhu masih ada. Tapi jika waktu solat sudah hamper habis, maka tidak sunat membaca doa iftitah kerana dikhuatiri akan terlepas waktu solatnya. Wallahu’allam….


2) Soalan : Seorang yang datang lambat ke masjid pada hari Jumaat, dan khutbah telah habis dan dia memasuki solat Jumaat tersebut pada rakaat ke-2. Adakah sah solat jumaatnya atau adakah dia perlu bertukar niat kepada solat Zuhur ?? Kalau solat Zuhur, perlukah dia solat 4 rakaat or still buat 2 rakaat juga seperti solat Jumaat ??

Jawapan : Ok, seseorang itu dikira sempurna solat Jumaatnya apabila dia sempat bersama imam dalam rukuk rakaat ke-2 beserta dengan tamakninah, maka dia hanya perlu menambah satu rakaat lagi untuk menyempurnakan solatnya, walaupun dia tidak sempat mendengar khutbah, dengan syarat bilangan ahli jemaah solat seramai 40 orang.

Sebaliknya, ketika dia memasuki solat Jumaat itu, imam sudah sudah selesai rukuk pada rakaat ke-2, maka dia perlu berniat solat Jumaat tetapi setelah imam selesai member salam, dia hendaklah menyempurnakan solat Zuhurnya 4 rakaat tanpa menukar niat asalnya. Wallahu’allam…..


3) Soalan : Suatu ketika, saya terperangkap dalam hujan lebat dan tempat terdekat yang boleh saya berteduh ketika itu adalah di tepi sebuah Kuil Hindu. Oleh sebab waktu hampir Maghrib dan kebetulan saya belum solat Asar, ditambah hujan masih lebat, saya mengambil keputusan untuk solat di kaki lima kuil itu, beralaskan kertas surat khabar. Betulkah tindakan tersebut ?? Tidakkah tindakan itu boleh mengelirukan orang ramai yang mungkin terlihat tindakan saya itu ??

Jawapan : Ok, secara ringkasnya, solat itu dikira sah. Yang penting ialah, syarat-syarat solat hendaklah diutamakan, antaranya ia;ah tempat kita hendak sujud itu hendaklah bersih dan tak kira dimana-mana sekalipun.

Cuma hukumnya menjadi makruh jika bersolat di tempat ibadah bukan Islam. Seandainya ada tempat lain, selain tempat ibadah non-Muslim tersebut, maka itu adalah yang terbaik dan pastinya tidak menimbulkan kekeliruan. Tetapi kalau dalam keadaan darurat seperti dak tak ada pilihan lain, maka ianya dibolehkan. Wallahu’allam…..