Friday, March 25, 2011

Solat Jumaat banduan & solat ketika azan


1) Soalan : Apakah hukum solat Jumaat atau solat berjemaah bagi banduan di dalam penjara, dengan mengikut seorang imam yang menggunakan pembesar suara, dalam keadaan mereka berada di dalam sel masing-masing ???

Jawapan : Solat berjemaah mesti dilakukan dalam suatu tempat yang boleh wujud hubungan langsung antara imam dengan makmum, dan antara mereka tak boleh dipisahkan dengan jarak 300 hasta tetapi jika makmum berada di dalam bilik tertutup, maka tentulah hubungan dengan imam terputus dan tak sah. Sah solat Jumaat untuk sesuatu kariah ialah apabila di situ terdapat orang bermastautin sekurang-kurangnya 40 orang. Tetapi dalam penjara, banduan adalah rata-rata orang yang bermukim, maka meraka tidak wajib melakukan jumaat. Maka dalam keadaan itu adalah lebih afdal mereka mengerjakan solat zuhur daripada solat Jumaat….Wallahu’allam



2) Soalan : Disebabkan mengejar waktu kerana ada tugasan penting, saya terus solat sebaik azan berkumandang. Adakah dibolehkan solat sebaik mendengar azan atau dikehendaki menunggu sehingga habis azan ???

Jawapan : Pada dasarnya, solat mesti dilakukan dalam waktunya. Maknanya apabila masuk waktu solat baru boleh solat. Tetapi sebelum solat terdapat amalan sunat yang seharusnya kita lakukan iaitu azan dan iqamah. Di antara azan dan iqamah pula disunatkan melakukan solat sunat qabliyyah. Ok, merujuk kepada soalan diatas, seharusnya anda menunggu selesai azan kerana menghormati azan dan menjawab azan adalah sunat. Selepas itu baru anda boleh terus melakukan solat. Sungguhpun begitu, jika dalam keadaan yang memaksa seperti takut terlepas bas, kereta api, kapal terbang dan seumpamanya, maka tak salah kalau kita terus solat sebaik azan dikumandangkan….Wallahu’alam

1 comment:

  1. http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan

    Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-56 yang bersidang pada 7 May 2003 telah membincangkan Sembahyang Jumaat Banduan Di Dalam Penjara Dan Seumpamanya. Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum sembahyang Jumaat ke atas banduan di penjara dan seumpamanya adalah wajib dan Jabatan Penjara Malaysia hendaklah membenarkan para banduan menunaikan sembahyang Jumaat kecuali bagi mereka yang didapati boleh menimbulkan ancaman seperti ancaman keselamatan, sosial dan sebagainya.

    ReplyDelete