Monday, March 21, 2011

Merungkai Rukun Solat


Bismillah...........
Rukun solat terbahagi kepada 3 bahagian :

1) Rukun Qalbi ( hati )
- Merupakan lintasan hati

2) Rukun Qawli ( diucapkan di lidah )
- Melafazkan takbiratulihram ketika takbir
- Membaca al-Fatihah
- Membaca tahiyyat atau tasyahud akhir
- Membaca selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w ketika tahiyyat akhir
- Mengucapkan salam yang pertama ke kanan

3) Rukun Fi’li ( perbuatan )
- Berdiri tegak
- Rukuk
- Iktidal
- Sujud
- Duduk antara 2 sujud
- Duduk tahiyyat membaca tahiyyat akhir

JOM KITA RUNGKAI SATU-PERSATU RUKUN SOLAT

1) NIAT DALAM HATI
Niat dari segi bahasa bermaksud kehendak ( al-Qasad )
Niat dari segi istilah bermaksud berkehendak untuk melakukan sesuatu yang disertai dengan perbuatan

Niat berlaku semasa seseorang itu mengangkat takbiratulihram iaitu tatkala ia mengatakan ‘ Allahu akbar ‘. Namun niat berbeza dengan lafaz solat. Lafaz tidaklah dipanggil sebagai niat kerana niat ialah lintasan hati tentang apa yang diniatkan. Berikut disertakan lafaz solat fardhu :

Solat Subuh


sahaja aku solat fardhu subuh 2 rakaat tunai kerana ALLAH Taala

Solat Zuhur


sahaja aku solat fardhu zuhur 4 rakaat tunai kerana ALLAH Taala

Solat Asar


sahaja aku solat fardhu asar 4 rakaat tunai kerana ALLAH Taala

Solat Maghrib


sahaja aku solat fardhu maghrib 3 rakaat tunai kerana ALLAH Taala

Solat Isyak


sahaja aku solat fardhu isyak 4 rakaat tunai kerana ALLAH Taala

2) TAKBIRATULIHRAM
Takbiratulihram ialah lafaz ‘ Allahu akbar ‘ yang merupakan salah satu daripada rukun sembahyang. berikut adalah lafaz takbiratulihram :



Terdapat 5 syarat dalam melakukan Takbiratulihram iaitu :

- Ketika melafazkan takbiratulihram hendaklah dalam keadaan yang tetap berdiri, bukannya ketika baru hendak berdiri menunaikan solat
- Menghadap qiblat ketika melafazkannya
- Dilafazkan dalam bahasa Arab. Jika tidak mampu mempelajarinya, hendaklah dilafazkan dalam bahasa yang mempunyai makna yang sama dengan lafaz ‘Allahu akbar‘. Tetapi seseorang itu tetap wajib belajar melafazkannya dalam bahasa Arab
- Mendengar kesemua huruf yang dilafazkan
- Ketika melafazkannya, perlulah disertai lintasan hati ( niat solat tersebut )


3) BERDIRI BETUL BAGI YANG BERKUASA
Wajib bagi seseorang yang berkuasa yakni mempunyai daya upaya untuk solat dalam keadaan berdiri. Sekiranya uzur, maka solat boleh dilakukan dalam keadaan duduk, baring, mengiring sebelah kanan, menelentang atau sekadar yang boleh dilakukannya. Antara keuzuran yang membenarkan seseorang itu bersolat dalam keadaan demikian ialah:

- Seseorang yang bimbang pening kepala yang dialaminya akan mengganggu kekhusyukan solatnya
- Seseorang yang takut sampannya akan tenggelam jika dia solat berdiri di atas sampan
- Seseorang yang menghidap penyakir salis al-baul ( penyakit kencing tak lawas ) dimana jika dia bersolat berdiri, maka air kencingnya akan mengalir keluar
- Seseorang yang diberitahu oleh doctor yang boleh dipercayai bahawa tanpa solat berdiri, maka penyakitnya akan cepat sembuh
- Seseorang yang dalam keadaan solat berdiri akan dikatahui oleh musuh dalam peperangan

Maka kesemua golongan di atas diharuskan untuk solat dalam keadaan selain daripada berdiri ( duduk, meniarap dan sebagainya ). Golongan ini tidak perlu mengulangi kembali solat mereka melainkan orang yang dalam peperangan yang mesti mengulangi kembali solat dalam keadaan berdiri.

Orang yang mampu berdiri, tapi tak mampu untuk rukuk dan sujud, tetap diwajibkan baginya untuk solat berdiri. Apabila rukuk dan sujud, maka hendaklah dia membongkokkan badannya sekadar yang mampu. Jika dia tidak mampu untuk membongkokkan badannya, maka hendaklah dia mengisyaratkannya dengan menggunakan leher dan kepala. Jika tak mampu juga, hendaklah dia mengisyaratkan perbuatan rukuk dan sujud itu dengan menggunakan kelopak mata.

4) MEMBACA AL-FATIHAH
Membaca al-Fatihah pada tiap-tiap rakaat adalah wajib dan lafaz Basmalah termasuk salah satu ayatnya. Perlu diingat bahawa adalah wajib bagi kita memelihara segala makhraj dan tajwid al-Fatihah. Saya sertakan teks surah al-Fatihah :



Berikut merupakan syarat-syarat sah bacaan al-Fatihah:

- Bacaan itu didengari dengan jelas jika dia mempunyai pendengaran yang baik
- Membaca mengikut tertib ayat serta sebutan huruf dan bacaan yang bersabdu
- Menyebut sebutan kalimah dalam surah itu dengan betul sama dengan maknanya, jika tak, solatnya dianggap tidak sah
- Bacaan surah al-Fatihah dalam solat hendaklah dilafazkan dalam bahasa Arab
- Hendaklah menyempurnakan bacaan al-Fatihah ketika dalam keadaan berdiri dan tidak boleh disambung dalam keadaan rukuk


5) RUKUK SERTA TAMAKNINAH
Rukuk ialah perbuatan membengkokkan badannya sehingga sekurang-kurangnya 2 tangannya dapat diletakkan keatas 2 kepala lutut beserta tamakninah, yakni berhenti sebentar sekadar bacaan ‘ subhanallah ‘. Tamakninah ini dikira jika kesemua anggota berat ( kedua belah tangan, kepala, kaki dan badan ) dalam keadaan berhenti. Jika salah satu anggota-anggota berat ini masih bergerak semasa rukuk, maka ia tidaklah dikira sebagai tamakninah.
Lafaz bacaan rukuk adalah seperti berikut :



Syarat-syarat rukuk ialah :

- Rukuk dengan kadar yang betul iaitu tapak tangan sampai ke kepala lutut
- Tidak berniat untuk mengelak daripada sesuatu ketika membongkok untuk rukuk
- Sentiasa berada dalam keadaan tetap dan tenang serta hanya melafazkan tasbih rukuk ketika itu ( tanpa diselangi dengan percakapan lain )


6) IKTIDAL SERTA TAMAKNINAH
Ertinya berdiri tegak semula selepas rukuk. Oleh itu, semua anggota berat hendaklah berhenti seketika selepas melafazkan bacaan iktidal iaitu :



Syarat-syarat iktidal :

- Berada dalam keadaan berhenti sebentar untuk mengucapkan tasbih iktidal
- Tidak berada dalam keadaan qasad selain perbuatan ketika bangun dari rukuk
- Tidak terlalu lama berdiri ketika iktidal


7) SUJUD
Sujud dari segi syarak ialah sentuhan dahi seseorang ketika bersolat di tempat sujud. Sekurang-kurangnya sujud meletakkan dahi di atas tempat sujud dan dahi mestilah tidak berlapik dengan sesuatu. Bacaan sujud adalah seperti berikut :



Syarat-syarat sujud :

- Dahi tidak berlapik dengan sesuatu benda
- Apabila sujud di tempatnya, dahi tidak boleh berlapik dengan sesuatu benda yang lain. Jika dahinya berlapik, maka tidak sah sujudnya.

Tetapi jika dahinya itu luka atau berbalut ( jika dibuka pembalut itu akan menyebabkan luka merebak dan sebagainya ), maka ia dikecualikan.
Jika seseorang itu sujud di atas tanah atau kertas umpamanya, sehingga menyebabkan kertas itu terlekat pada dahinya, maka hendaklah dia menghilangkan ( menanggalkan ) kertas itu kerana jika dia sujud selepas itu, sujudnya dikira tidak sah walaupun sujud pertamanya masih sah.
- Sujud melibatkan 7 anggota yang utama iaitu :

* Dahi
* 2 tapak tangan
* 2 lutut
* 2 kaki

- Bahagian paling bawah punggung hendaklah terangkat sedikit lebih daripada kepala sekadar yang mampu
- Tidak mempunyai niat yang lain selain daripada sujud ( niat semata-mata sujud )
- Berada dalam keadaan tenang ketika sujud
- Dahi berada dalam keadaan tetap di tempat sujud
- Bartumpu dengan dahi ( meletakkan imbangan badan kepalanya di tempat sujud )
- Tidak sujud di atas permukaan yang ditanggung atau benda yang bersambung dengan badannya


Maksudnya tidak sujud di atas permukaan yang ditanggung atau yang bersambung dengan badannya yang mana ketika ia bergerak dengan pergerakannya seperti berdiri atau duduk sekalipun ia hanya akan bergerak dengan pergerakan yang kuat seperti pakaian yang dipakainya. Oleh itu, sah sujud di atas katil sekalipun katil itu bergerak dengan sebab pergerakannya keran katil itu tidak ditanggungnya.
Begitu juga sah sujud di hujung kainnya yang panjang yang tidak bergerak dengan pergerakannya untuk berdiridan duduk kerana ia dihukumkan sebagai benda yang tidak bersambung dengannya.


8) Duduk antara 2 sujud
Bermaksud mengangkat kepala dan badan untuk dudk antara 2 sujud ini mestilah mengandungi tujuan. Sekiranya mengangkat dengan tujuan lain umpamanya mengelakkan daripada binatang, maka hendaklah ia sujud semula. Bacaannya adalah seperti berikut :


Duduk antara 2 sujud merupakan rukun yang pendek, maka tidak boleh dipanjangkan masa ketika duduk.


9) Duduk tahiyyat akhir
Tidak boleh seseorang itu membaca tahiyyat ketika dia sedang berdiri, sujud atau sebagainya.

10) Membaca tahiyyat akhir
Bacaan tahiyyat akhir adalah rukun. Oleh itu, lafazkanlah bacaan ini dengan makhraj dan tajwid yang betul seperti berikut :



Syarat-syarat tahiyyat akhir :

- Memperdengarkan bacaan tasyahud kepada dirinya sendiri ( kekuatan bacaan hanya mampu didengari dirinya )
- Berturutan bacaan tasyahud
Maksudnya ketika melafazkan bacaan tasyahud, tidak diselangi dengan apa-apa perkataan lain yang tidak berkaitan
- Membaca tasyahud dalam duduk yang diikut diikuti dengan salam
- Bacaan tasyahud dalam bahasa Arab
- Menjaga bacaan Makhraj-makhraj huruf tasyahud, baris-baris sabdu
- Membaca dengan tertib

11) Selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w
Barikut adalah lafaz selawat terbaik ketika tahiyyat akhir :



Syarat-syarat selawat :

- Dirinya mendengar lafaz bacaan yang disebut
- Berturutan membaca selawat tanpa diselangi lain-lain perkataan
- Membaca selawat ketika duduk diikuti salam
- Membaca dalam bahasa Arab
- Menjaga makhraj dan baris sabdu
- Membaca dengan tertib

12) Salam pertama
Berikut adalah lafaz salam :



13) Tertib
Bermaksud melakukan semua rukun solat dari mula sehinggan salam mengikut aturan yang betul. Jika tidak, maka solat itu dikira BATAL.
Wallahu'allam

Kepada kekawan or adik-adik sekalian.....Jom same2 kite perbetolkan balik cara solat kita yg mungkin ade sdikit kekurangan....Smoga smua mndapat manfaatnya.....

Video Amali Solat Fardhu Subuh

3 comments: